Saturday, March 2, 2024

masih

masih mahu disini
kaki mahu terpasak
masih mahu mencium
sebuah tangan yang berkedut itu
sejuk, lembut

masih mahu disini
disini, berlatar belakangkan rumah kayu
bawahnya tersimpan loteng kecil
sekejap sekejap dia suruh aku ambil kuali, periuk.

paling aku ingat
masih mahu disini
menemani dia membaca surat khabar bersama kotak cermin mata dan duduk gaya lama

masih mahu disini
masih sedia menanti
apa pun yang terjadi
Tuhan itu Maha Mengetahui

kali kedua deringan telefon baru aku capai
“wan dah takda, wan dah takda”
aku letak. aku senyum.

aku masih disini
wan telah pergi
wan sentiasa disini, disisi dan disini (dihati)





umbai

entah. . .

Entah
sungguh
aku berkata entah

aku tak tahu hendak menggambarkan bagaimana perasaan aku sekarang ini.
kalau aku boleh tulis, tak terhabis panjangnya.
kalau aku boleh lukis, mungkin ia satu karya abstrak, berkecamuk, riuh
aku hanya mampu menangis, menulis, menangis, menangis dan menangis. aku menangis hampir 15 minit dan aku masih belum rasa puas.

air mata yang keluar sepatutnya buat aku rasa lega

sakitnya, masih ada rasa tersisa, tetapi sakit yang dia tanggung mungkin lagi menggunung
melihat dia terlantar, di dalam hospital yang sunyi dan bunyi mesin ditepi yang tidak berhenti di atas katil bercadar putih berbau antiseptik. dia sakit, aku pun

setiap kesakitannya bagai disalur kedalam
diri ini.

entah
sejak bila aku pun tidak mula ingat
tetapi sakitnya bagai sudah diduga dan datangnya pula secara tiba-tiba.

tiada siapa tahu melainkan Dia

melihat dia kurus menua rambut yang tebal hitam mulai nipis putih, buat aku sakit. sakit kerana entah. dia sudah tua dan aku semakin dewasa. tiba-tiba aku benci jadi dewasa.

tiada siapa bagi tahu aku, atau ada manual buku mana patut aku baca. dewasa penuh tanggungjawab dan bukan setakat itu, kau bersedialah dengan pelbagai kehilangan. cinta, kawan, hobi, perasaan dan orang-orang yang kau sayang lebih-lebih lagi sebab mereka yang telah berusia.

walaupun begitu. suara kecil dari hati ini lebih kuat. bagai menjerit tidak mahu diabai. “redhakan dia” “lepaskan dia” “doakan perjalanan dia” teriakan kata-kata yang kuat dipalu bertalu. dada ini sakit dan kepala jadi buntu.

bersedia kah aku?
bersediakah kami?
bersediakah dia?

pada penghujungnya kita semua akan kembali, tetapi kenapa hati ini seperti tidak bersedia lagi?





,u12/umbai